Tuesday, October 18, 2011
Nasihat Sheikh Abdul Qadir Jailani (4)
Wahai manusia, bersyukurlah kepada Allah atas nikmat-nikmatNya dan lihatlah nikmat-nikmat itu daripadaNya. Allah berfirman:
"Dan apa saja nikmat yang ada pada kamu maka dari Allah-lah datangnya" (AnNahl 53).
Di manakah syukur itu wahai orang yang berasa nikmat-nikmat itu berasal dari yang selainNya? Kadang-kadang kamu melihat nikmat itu datang dari selainNya, kadang-kadang kamu melihat nikmat itu sedikit dan kamu menunggu apa yang bukan untukmu, kadang-kadang kamu menggunakan nikmat itu untuk bermaksiat kepada Allah.
Wahai anak Adam, ketika kamu bertafakur kamu memerlukan kewarakan yang akan mengeluarkan kamu dari maksiat-maksiat, yang mana akan mengingatkan kamu kepada pengawasan dan pandangan Allah kepadamu. Kamu sangat memrlukan hal ini di dalam tafakurmu. Kemudian kamu memerlukan kepada peperangan terhadap nafsu dan syaitan.
Runtuhnya kebanyakan manusia kerana tergelincir oleh hasutan syaitan.
Orang-orang yang beriman itu, mereka sibuk menjaga hati, kerana mereka tidur di pintu Yang Maha Agung, mereka menempati di makam dakwah. Mereka mengajak makhluk kepada makrifat Allah. Mereka sentiasa mengajak hati denngan mengatakan:
"Wahai hati, Wahai roh, Wahai manusia, wahai jin dan wahai orang yang inginkan Yang Maha Agung, marilah ke pintu Yang Maha Agung, bersegeralah kepadaNya bersama dengan hatimu, taqwamu, tauhidmu, makrifatmu, dan warakmu yang tinggi, kemudian zuhud di dunia dan Akhirat serta apa saja perkara yang selain dari Tuhan."
Inilah kesibukan orang-orang yang beriman, cita-cita mereka memperbaiki makhluk. Cita-cita mereka meliputi langit dan bumi, dari Arasy sampai ke bawah. Wahai manusia, tinggalkanlah hawa nafsu dari kamu, jadilah tanah di tapak kaki kamu itu debu di muka hawa nafsu. Allah swt mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup. Dia mengeluarkan Ibrahim as dari orang tuanya yang mati dalam kafir. Ketahuilah bahawa orang Mukmin itu hidup sedangkan orang kafir itu mati.
Orang yang mengesakan Allah swt itu hidup dan orang yang menyekutui Allah itu mati.
Makhluk pertama yang mati (menjadi kafir) adalah Iblis, dia derhaka kepadaNya maka dia mati dalam kemaksiatan. Bahawasanya sekarang adalah akhir zaman, telah nyatalah pasar kemunafikan dan pasar dusta. Janganlah kamu bersama-sama dengan orang yang munafik, pendusta lagi pembohong.